The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan ke-21 Liga Super 2025/26 | Kuala Lumpur City FC 2-3 Selangor FC | Kemenangan Derbi Lembah Klang ke-55

Mar 16, 2026 - FAS

Selangor FC meraih kemenangan Derbi Lembah Klang ke-55 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-2 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, dalam perlawanan ke-21 saingan Liga Super 2025/26 semalam.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor FC membuka jaringan pada minit ke-11 melalui penyudah tenang Faisal Halim hasil hantaran Alvin Fortes, memberikan kelebihan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama. Dalam separuh masa kedua, Mamadou Diarra menggandakan kelebihan pada minit ke-60 selepas menyempurnakan hantaran tandukan Safuwan Baharudin, sebelum Hugo Boumous menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-70 hasil gerakan yang dimulakan Chrigor Moraes. Kuala Lumpur City FC bangkit dengan gol Madger Gomes pada minit ke-72 dan minit ke-85 gol Safawi Rasid, kedua-duanya hasil bantuan Vitor Ruiz. Namun, Selangor FC berjaya mengekalkan kelebihan untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, menyatakan rasa bangganya terhadap persembahan pemain, terutamanya dalam separuh masa kedua, sambil menekankan bahawa pasukan perlu memperbaiki kesilapan mereka.

“Kita memulakan aksi dengan memberansangkan, menjaringkan gol pembukaan dan mengawal permainan dengan baik. Walaupun bolos dua gol, ia adalah sesuatu yang akan kami perbaiki. Saya bangga dengan komitmen pemain dalam membina identiti kelab. Tanggungjawab saya adalah memberi motivasi dan sokongan di dalam serta luar padang kepada mereka,” jelas beliau.

Daripada perlawanan #KLCSFC saingan Liga Super 2025/26 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat:-

  • Semalam merupakan kemenangan ke-55 pasukan di antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC daripada 92 perlawanan.
  • Faisal Halim berjaya menjaringkan gol kelima Liga Super beliau pada musim ini bersama pasukan.
  • Hugo Boumous dan Mamadou Diarra masing-masing berjaya membuka akaun jaringan mereka dalam saingan Liga Super 2025/26.
  • Safuwan Baharudin mencatatkan bantuan gol pertama beliau dalam liga selepas menanduk bola tepat ke kaki Mamadou Diarra.
  • Alvin Fortes pula merekodkan ‘assist’ keenam beliau dalam aski #KLCSFC

Ini merupakan perlawanan terakhir liga Malaysia bagi bulan Mac, memberi laluan kepada sambutan Raya Aidil Fitri 2026 yang dijangka pada 20 atau 21 Mac, sebelum kalendar FIFA bermula pada 23 hingga 31 Mac.

Pihak pengurusan Selangor FC turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong atas sokongan padu mereka dan menjadi saksi kemenangan Gergasi Merah dalam Derbi Lembah Klang musim ini. 

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Hugo Boumous, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Safuwan Baharudin, Mamadou Diarra & Chrigor Moraes.

Pertukaran: 76’ Vitor Pernambuco > Alvin Fortes, 76’ Harith Haiqal > Hugo Boumous, 76’ Alexander  Agyarkwa > Noor Al Rawabdeh, 90+3’ Kim Ji-ho > Faisal Halim, 90+3’ Fazly Mazlan > Quentin Cheng.